Baru-baru ini saya telah menghadiri Kursus PTK4 selama 2 minggu di ILKAP. Selama 2 minggu itulah juga simpton-simptom kemurungan hadir dalam diri kebanyakan peserta kursus. Atas dasar itulah saya telah mengambil tajuk "Statistik kes kemurungan semakin meningkat, apakah punca-punca kemurungan dan bincangkan langkah-langkah bagi mengatasinya" untuk tujuan persembahan individu dan kertas tugasan saya. Di sini saya ingin berkongsi dengan anda hasil kertas kerja saya. Sesiapa yang ingin menceduk hasil kerja yang tak seberapa ini saya alu-alukan tetapi kalau mahu postkan di blog anda sebaik-baik nyatakan sumber bahawa ia diambil dari blog saya. Satu lagi jika terdapat fakta yang salah harap maklumkan pada saya. Disamping itu sila klik dahulu
di sini untuk mengetahui ubat kemurungan.
Pengenalan.
Siptom kemurungan bukanlah satu perkara baru dalam kehidupan kita sehari-hari, walau bagaimanapun masih ramai yang tidak tahu atau kurang faham dengan permasalahan ini. Perbincangan tentang siptom kemurungan telah tercatat sejak tiga ratus tahun yang lalu apabila penulis-penulis Greek dan Rome telah membicarakan serta memaparkan penyakit ini yang dikenali sebagai ‘melancholic disease’ yang berlaku kepada masyarakat pada waktu itu. Siptom atau penyakit ini walaupun telah wujud beratus tahun yang lalu hanya diakhir-akhir ini sahaja ia mula diselidik dengan lebih saintifik.
Apakah itu kemurungan?
Agak sukar untuk mendefinisikan istilah kemurungan dengan tepat. Walau bagaimanapun secara umum, kemurungan ialah suatu sidrom tingkah laku yang merangkumi keadaan-keadaan gangguan pertuturan, terlalu merasai rendah diri, sentiasa mengalami perasaan bersalah, memencilkan diri dan tidak aktif dalam gerak laku sehari-harian. Kemurungan adalah satu bentuk gangguan emosi paling umum. Gangguan kemurungan sebenarnya merupakan satu penyakit biasa dan lebih umum daripada hipertensi atau diabetes.
Kemurungan adalah penyakit mental yang menyebabkan perasaan (mood) seseorang individu menjadi semakin menurun. Ini akan menjejaskan kehidupan harian individu tersebut, termasuklah pemikiran, perasaan, tingkah laku dan kesejahteraannya dan sekiranya tidak ditangani secara efektif, ia boleh mendorong kepada tindakan membunuh diri.
Menurut Manual Diagnostik dan Statistik Masalah Mental IV (DSM-IV), diagnosis kemurungan hanya boleh dilakukan jika terdapat sekurang-kurangnya lima simptom kemurungan yang hadir untuk tempoh sependek dua minggu. Antara ciri-ciri atau symptom-sintom kemurungan adalah seperti berikut:
Hilang minat atau kehendak pada perkara-perkara yang selama ini dibuat atau suka untuk melakukannya.
Merasa sedih atau kesunyian yang amat sangat.
Mudah menangis atau menangis tanpa sebarang sebab.
Hilang daya atau tenaga serta merasa lemah yang amat sangat.
Rasa bersalah yang amat sangat atau hilang keyakinan diri.
Hilang selera makan dan kehilangan berat badan yang ketara.
Merasa mati itu lebih baik atau lebih kronik lagi sentiasa berfikir untuk membunuh diri.
Bermasalah untuk membuat keputusan.
Sukar untuk tidur atau apabila terjaga sukar untuk tidur kembali.
Daripada definisi kemurungan yang saya nyatakan tadi, dapat kita simpulkan bahawa kemurungan adalah sejenis penyakit mental yang melibatkan badan, perasaan dan fikiran seseorang.
Statistik Kes-kes Kemurungan.
Beberapa kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Bank Dunia mendapati kemurungan adalah penyakit keempat paling serius dalam melumpuhkan jiwa seseorang di dunia. Selari dengan perangkaan global, kemurungan juga merupakan penyakit keempat paling serius di Malaysia. Tetapi jika mengikut pecahan jantina, ia berada di tangga ketiga bagi wanita dan ke-10 bagi lelaki. Pada kebiasaanya wanita adalah lebih cenderung menghidap kemurungan berbanding lelaki dengan kadar nisbah 2:1.
Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (1996) menunjukkan kadar prevalen kemurungan ialah pada 11% dengan 9% berada pada tahap serius. Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (2006) pula mendapati kes kemurungan meningkat hampir 6 peratus berbanding 10 tahun lalu dimana sebanyak 16 peratus daripada 26 juta penduduk di negara ini disahkan mengalami masalah kemurungan.
Di negara kita Malaysia, kejadian bunuh diri seringkali berlaku dengan purata 7 kejadian bunuh diri setiap hari, mencapai jumlah keseluruhan melebihi 2,000 kematian setahun. Kadar prevalen bunuh diri dianggarkan antara 8 hingga 13 bagi setiap 100,000 penduduk setahun. Kajian menunjukkan bahawa mereka yang dimasukkan ke hospital kerana cuba membunuh diri menunjukan empat dari lima orang mengalami kemurungan.
Punca-punca Kemurungan
Pada masa kini terdapat banyak teori yang telah disarankan untuk menghuraikan bagaimana sindrom kemurungan boleh berlaku. Antara teori-teori tersebut adalah seperti teori psikoanalitik dan teori pembelajaran sosial.
Teori psikoanalitik telah dibincangkan melalui pengasasnya Sigmund Freud (1917). Beliau menyatakan punca kemurungan adalah disebabkan oleh faktor-faktor dari tekanan diri, kurang yakin pada diri sendiri dan perasaan kendiri yang rendah. Kegagalan untuk mendidik kanak-kanak diawal perkembangan mereka juga boleh menyebabkan mereka mudah untuk mendapat penyakit ini apabila dewasa kelak.
Pemahaman yang agak sama juga diutarakan oleh pendekatan teori pembelajaran sosial apabila Seligmen (1974) percaya yang kemurungan manusia disebabkan dari kehilangan daya kawalan keatas perlakuan-perlakuan individu (learned helplessness). Menurut Seligman lagi kanak-kanak yang tidak diberi peluang untuk mengawal persekitarannya dan tidak diberi peluang untuk bertindak sendiri terutama ditahap awal perkembangan akan menghasilkan individu yang berpotensi untuk mempunyai sikap tidak mampu mengawal persekitarannya ketika diusia dewasa nanti. Selain itu, menurut Seligmen, pengalaman-pengalaman sosial yang menyakitkan seperti kematian orang yang sangat disayangi, perceraian, atau kegagalan dalam peperiksaan, juga boleh menyumbang ke arah kemurungan.
Perubahan emosi juga boleh menyebabkan berlakunya kemurungan. Pengaruh emosi seperti menghadapi tekanan hidup seringkali menjadi punca masalah kemurungan. Tekanan hidup seperti mempunyai masalah keewangan, tekanan kerja, konflik di dalam keluarga dan masalah kesihatan jika tidak diatasi juga akan akan menyebabkan kemurungan.
Selain dari punca-punca yang dinyatakan di atas, faktor biologi individu terbabit juga boleh menjadi penyebab penyakit kemurungan. Antara faktor biologi tersebut adalah seperti berikut:
i) Ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak.
Adalah dipercayai bahawa ketidakseimbangan bahan kimia yang dipanggil neurotransmitter serotonin di bahagian otak akan menyebabkan seseorang itu mengalami kemurungan. Serotonin inilah yang terlibat dalam proses pemikiran dan mengawal emosi. Oleh itu apabila berlaku ketidakseimbangan bahan kimia tersebut, otak tidak lagi mampu menyelaraskan proses pemikiran dan emosi dengan baik. Apabila perkara ini berlaku, ia akan menjejaskan proses pengeluaran kata-kata, ingatan dan daya tindak seseorang manusia dan akhirnya akan wujudlah masalah kemurungan.
ii) Baka keturunan
Kemurungan juga didapati berlaku lebih kerap kepada seseorang yang mempunyai ahli keluarga yang pernah mengidap kemurungan. Oleh itu ada kemungkinan kemurungan ini boleh diwarisi melalui genetik atau baka keturunan.
iii) Pengambilan Ubat-ubatan
Sesetengah jenis ubat darah tinggi misalnya, didapati boleh mencetuskan episod kemurungan dalam diri seseorang. Sekiranya hal ini berlaku, kemurungan itu akan beransur hilang dengan sendirinya apabila ubat-ubatan tersebut diberhentikan. Oleh itu jika sesorang itu sedang mengambil ubat-ubatan, sila pastikan dengan doktor terlebih dahulu samaada ubat-ubatan tersebut mungkin punca pesakit mengalami kemurungan.
Daripada teori-teori yang dinyatakan di atas, dapat dirumuskan bahawa penyakit ini berpunca daripada pelbagai faktor yang merangkumi faktor janin atau genetik, faktor yang melibatkan psikologi dan faktor-faktor yang ada kaitan dengan proses perkembangan personaliti.
Langkah-langkah yang wajar diambil bagi mengatasi kemurungan.
Kemurungan adalah penyakit yang boleh diubati. Kajian menunjukkan bahawa hampir 85 peratus pesakit sembuh semula setelah menjalani rawatan. Oleh itu, dalam mengatasi masalah kemurungan terdapat banyak kaedah atau langkah-langkah yang oleh dilakukan termasuklah mengambil ubat-ubatan, melalui kaunseling dan lain-lain lagi. Bagi tujuan tugasan ini, saya telah mengariskan lima langkah yang wajar diambil bagi mengatasi kemurungan seperti berikut:
1. Mengambil ubat-ubatan anti-kemurungan (anti-depressant drug)
Ubat-ubatan anti kemurungan akan memberikan tindakbalas/rangsangan di dalam otak. Terdapat banyak ubat anti kemurungan dipasaran seperti tricyclic, monoamine oxidase inhibatots dan lithium. Walaubagaimanapun ubat-ubatan sebegini haruslah diambil dengan nasihat dan arahan doktor sahaja. Ia tidak boleh dijadikan sebagai satu kebiasaan. Kadangkala doktor akan mencuba beberapa jenis ubat anti kemurungan ke atas persakit terlebih dahulu bagi menentukan ubatan yang sesuai sebelum meneruskan pengambilannya.
Ubat-ubatan anti-kemurungan mempunyai kesan sampingan seperti kekeringan mulut, masalah untuk membuang air, penglihatan menjadi kabur buat sementara waktu dan rasa mengantuk. Oleh itu jangan sesekali mengambil ubat-ubatan anti kemurungan tanpa nasihat doktor.
2. Menjalankan Kaedah Terapi/Psikoterapi
Masalah kemurungan biasanya boleh di atasi secara psikoterapi oleh ahli-ahli psikologi. Kaedah ini bukan sahaja dapat merawat masalah kemurungan bahkan merawat penyakit lain seperti masalah personaliti dan kecelaruan tingkah laku. Terdapat beberapa jenis dan cara rawatan psikoterapi yang boleh dijalankan seperti terapi menggunakan dadah (drug therapies), terapi elektrokonsalsif dan terapi psikosurgeri. Terapi juga boleh dijadikan dalam dua peringkat iaitu terapi individu dan terapi kumpulan.
i. Terapi individu.
Terdapat tiga bentuk terapi individu yang biasanya dijalankan iaitu Terapi Celik Akal, Terapi Tingkah Laku dan Terapi Kognitif.
A) Terapi Celik Akal.
Terapi ini berdasarkan kepada gerak hati dan dijalankan secara individu. Ia mempunyai matlamat untuk menyedarkan dan memahamkan pesakit berkenaan perasaan, motivasi dan tingkah laku pesakit dengan harapan mereka akan lebih mudah menyesuaikan diri dan mempunyai keinginan untuk sembuh.
B) Terapi Tingkah Laku.
Di dalam terapi tingkah laku, ahli-ahli terapi tingkah laku akan lebih menumpukan kepada mengubah tingkah laku klien berbanding terapi celik akal yang lebih menumpukan kepada memahami pemikiran dan perasaan klien. Ia berasaskan kepada kepercayaan bahawa setiap tingkah laku samada normal atau tidak adalah dipelajari. Oleh itu tumpuan utama terapi tingkah laku ialah untuk mengajar pesakit cara serta tingkah laku baru yang lebih baik serta diterima ramai.
C) Terapi Kognitif.
Terapi kognitif berlandaskan kepercayaan bahawa sekiranya manusia mampu untuk mengubah idea serta pandangan mereka terhadap diri serta persekitaran mereka, mereka juga mampu untuk mengatasi masalah yang mereka hadapi serta menjalani kehidupan mereka dengan lebih positif dan dinamik.
ii. Terapi Berkumpulan.
Sesetengah ahli terapi percaya bahawa menjalankan terapi secara berkumpulan lebih memberikan kesan berbanding secara perseorangan. Ini kerana kaedah ini membolehkan para terapi melihat tingkah laku pesakit sewaktu di khalayak ramai. Diantara kelebihan terapi secara berkumpulan ialah sokongan sosial daripada kumpulan, pesakit dapat mempelajari ilmu baru daripada rakan kumpulan, pandangan serta masalah kawan sekumpulan dapat membantu pesakit lebih memahami diri mereka.
Terapi Elektrokonvalsif.
Rawatan ini mengunakan sejumlah kecil elektrik untuk dimasukan ke dalam otak pesakit dalam jangkamasa yang tertentu. Pesakit yang mengalami kemurungan yang teruk sering diberikan rawatan ini. Namun oleh kerana terdapat banyak bantahan berkenaan penggunaan kaedah ini, ia hanya digunakan sekiranya kaedah lain tidak berjaya memulihkan pesakit.
Terapi psikosurgeri.
Terapi psikosurgeri pula merujuk kepada pembedahan bahagian otak dengan tujuan untuk mengubah tingkah laku serta emosi pesakit. Hanya mereka yang mengalami masalah kemurugan yang teruk yang diberikan rawatan ini.
3. Kaunseling.
Terdapat beberapa definisi yang telah dikemukakan oleh pakar-pakar kaunseling dan setiap definisi adalah bergantung kepada teori yang mereka gunakan. Secara ringkasnya kaunseling bermaksud suatu perhubungan yang professional diantara seorang kaunselor terlatih dengan seorang klien. Perhubungan ini kadangkala melibatkan lebih daripada dua individu. Ia bertujuan membantu klien memahami dan menjelaskan pandangan mereka terhadap ruang kehidupan dan belajar mencapai matlamat yang mereka tentukan sendiri melalui pemilihan-pemilihan yang bermakna serta melalui penyelesaian masalah yang berbentuk emotional antara individu. Daripada definisi ini kaunseling boleh dipecahkan kepada dua kategori iaitu kaunseling individu dan kaunseling kelompok.
Kaunseling Individu telah ditakrifkan sebagai satu perhubungan yang bersemuka di mana seseorang klien mendapatkan bantuan daripada seorang kaunselor. Perhubungan tersebut disifatkan oleh ciri-ciri seperti penerimaan klien secara tulen, saling hormat menghormati dan penekanan terhadap keperluan-keperluan dan perasaan klien. Ia merupakan suatu pemusatan hal peribadi, hubungan bersemuka antara dua manusia apabila seorang kaunselor dengan kemampuan yang ada padanya menyediakan satu situasi pembelajaran yang membolehkan kliennya mengenali dirinya sendiri, membuat keputusan dan pemilihan bagi memenuhi keperluan diri mereka sendiri.
Kaunseling kelompok pula merupakan satu pendekatan yang boleh digunakan oleh kaunselor terlatih untuk memberi pertolongan berkesan kepada beberapa orang individu biasa yang sedang menghadapi masalah seharian yang normal dalam satu jangka masa yang sama. Pendekatan ini mempunyai objektif yang sama dengan kaunseling individu tetapi meliputi interaksi kaunselor dengan lebih individu. Dalam kaunseling kelompok perlu ada suasana selesa dan penerimaan setiap ahli tanpa ragu-ragu untuk membolehkan ahli menilai diri sendiri, mengalami perkembangan diri dan berhubungan dengan individu lain dengan lebih positif. Kaunseling kelompok akan dapat memberikan ahli sokongan dan simpati yang perlu bagi membina suasana percaya mempercayai bagi menggalakkan ahli berkongsi pengalaman dan pendapat. Selain itu, ahli juga dapat berinteraksi dengan individu lain dalam kumpulan itu untuk menambahkan rasa kefahaman dan juga penerimaan nilai serta matlamat hidup sendiri di samping menerima atau membuang sikap dan kelakuan yang tidak diingini.
Kaunseling boleh dikatakan sebagai langkah terbaik untuk merawat masalah kemurungan. Walaubagaimanapun perlu diingat bahawa pendekatan yang sesuai mestilah dilakukan untuk merawat masalah kemurungan seperti menjalankan kaunseling pemulihan. Terdapat tiga sebab mengapa perlunya kaunseling pemulihan iaitu dalam mengatasi masalah kemurungan iaitu;
i. Kaunselor pemulihan mengandaikan kes-kes klien yang mempunyai masalah fizikal seperti kecelaruan tingkah laku atau kecacatan.
ii. Kaunselor pemulihan bertanggungjawab menyediakan klien dengan maklumat pendidikan dan rawatan pemulihan. Kejayaan kaunselor pemulihan selalu diukur dengan kejayaan mereka untuk membantu klien mendapatkan pekerjaan.
iii. Klien telah mengharapkan kaunselor pemulihan menyediakan perkhidmatan yang luas terutamanya berkaitan dengan kecacatan dan ketidakupayaan memperoleh pekerjaan. Klien mempunyai harapan dan jangkaan yang tinggi terhadap kaunselor.
Adalah penting untuk mengetahui bahawa kaunseling bukan bererti nasihat, walaupun terdapat nasihat yang diberikan. Malah kaunselor tidak memberi jawapan secara langsung kepada semua persoalan klien, kerana apa yang baik untuk kaunselor tidak semestinya baik untuk klien. Keistimewaan khidmat kaunseling ialah ia membimbing klien mencari sumber dirinya yang menyumbang kepada isu yang dihadapi. Penerimaan dan perakuan sumber diri adalah penting dalam menghasilkan perubahan diri. Oleh kerana kaunseling bukan nasihat, hubungan kaunseling adalah berbentuk dua hala. Kaunselor cuba mendengar dan memahami serta menolong dengan memberikan layanan serta interaksi yang baik, manakala klien memperihalkan masalah mereka dan cuba memahami serta mengambil tindakan menguruskan masalah tadi. Proses aksi dan reaksi di antara kaunselor dan klien akan membantu klien mengenali diri dan persoalan yang dihadapinya.
4. Mengamalkan meditasi
Meditasi bermaksud satu teknik penumpuan manusia yang memfokuskan pada gambaran atau tumpu pada pernafasan dan juga gerakan tertentu bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran minda, mengurangkan tekanan, membuatkan kita lebih tenang dan meningkatkan tahap kesedaran jiwa. Ia juga dikatakan satu seni menenangkan minda (the art of silencing the mind). Apabila kita dapat menenangkan minda maka tahap tumpuan akan meningkat dan kita akan mendapat ketenangan dalaman yang tinggi. Kebanyakan manusia hari ini selalunya lupa bagaimana untuk merehatkan minda dan tubuh kerana terlalu sibuk dengan gaya hidup zaman moden. Kita boleh lihat di dalam kehidupan kita sehari-hari dari pagi hingga ke malam. Kadang-kadang kita tidak dapat tidur kerana asyik memikirkan macam-macam perkara dan juga masalah-masalah.
Pakar-pakar perubatan moden telah mula mengakui bahawa meditasi adalah kaedah terbaik untuk mengatsi tekanan (stress). Dr James W Anderson yang juga professor perubatan Falkulti Perubatan Universiti Kentucky telah membuat kajian dan mengakui bahawa meditasi mampu mengubati penyakit kronik seperti penyakit jantung, darah tinggi, stroke, tekanan kerja, marah, kemurungan, lemah badan dan kurang motivasi.
Dalam kajian tersebut membuktikan bahawa amalan meditasi bukan setakat mengurangkan tekanan tetapi membantu memperbetulkan aliran tekanan darah tinggi selain mengatasi perbagai kesan sampingan dan keburukan akibat pengambilan ubat anti tekanan.
5. Melaksanakan Kempen Mencegah Kemurungan.
Pihak kerajaan bersama-sama dengan pertubuhan bukan kerajaan bolehlah menjalankan kempen mencegah kemurungan. Kempen seperti “Jom Atasi Kemurungan” atau “Jom Tangani Stress” akan dapat membantu mengatasi kemurungan.
Umum telah mengetahui bahawa stres, cemas, risau dan berkelakuan agresif menunjukkan peningkatan yang ketara kebelakangan ini. Namun ramai yang tidak menyedari bahawa stress boleh menyebabkan penyakit kemurungan.
Dalam laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, stres dilabel sebagai ’Penyakit’ abad ke 20 dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga melaporkan bahawa stres ialah Epidemik Dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menjangkakan bahawa stres merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada kemurungan melampau menjelang tahun 2020. Oleh itu pendedahan kepada situasi yang memberi tekanan adalah akan dapat memberikan kefahaman kepada masyarakat mengenai kemurungan dan seterusnya mencegah daripada berlaku.
Sehubungan itu, kempen mencegah kemurungan akan dapat memberi penekanan yang utama dalam menangani dan mengurus stres secara berkesan. Antara aktiviti yang boleh dicadangkan dalam kempen ini adalah seperti mengadakan “roadshow” dalam bentuk karnival. Di dalam karnival ini aktiviti-aktiviti seperti mengadakan gerai pameran mengenai masalah kemurungan, tunjuk cara teknik relaksasi, kuiz kesihatan, perkhidmatan saringan kesihatan dan lain-lain bolehlah diadakan dengan percuma.
Adalah diharapkan dengan wujudnya program sebegini akan dapat memberikan kefahaman kepada masyarakat tentang penyakit kemurungan dan seterusnya dapatlah diambil langkah-langkah pencegahan awal serta membantu mereka yang mengalaminya.
Halangan-halangan dalam menangani masalah kemurungan.
Walaupun terdapat banyak langkah-langkah bagi mengatasi masalah kemurungan, namun statistik kes-kes kemurungan masih lagi meningkat. Antara halangan-halangan dalam menangani masalah kemurungan adalah disebabkan oleh ramai pesakit tidak mendapatkan rawatan yang betul atau gagal meneruskan rawatan sehingga benar-benar sembuh. Kajian menunjukkan lebih daripada 40 peratus pesakit menghentikan rawatan antikemurungan selepas tempoh tiga bulan. Kebanyakan pesakit berputus asa ekoran berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang sesi rawatan dan terapi yang dijalankan seperti kurangnya komunikasi yang berkesan dengan pengamal-pengamal perubatan, kurangnya sokongan dan pemahaman daripada keluarga dan rakan-rakan, kurangnya pengetahuan asas tentang maklumat perubatan penyakit dan kurangnya keyakinan diri dan pengetahuan dalam menguruskan kesan-kesan sampingan.
Ramai antara pengidap sindrom kemurungan merasakan yang sindrom tersebut mungkin lahir daripada lemah semangat atau tidak cekal dalam menghadapi kehidupan. Ada juga yang bmerasakan bahawa ia berpunca daripada salah makan atau tidak mengamalkan makanan yang seimbang. Salah faham tersebut selalunya menyebabkan ramai antara pengidap kemurungan sanggup menyembunyikan sindrom tersebut daripada Keluarga mereka kerana takut dianggap sebagai golongan yang lemah imam atau tidak cekal dalam menghadapi dugaan. Oleh itu ramai dari kalangan pesakit kemurungan tidak mendapatkan rawatan yang sewajarnya.
Pertambahan bilangan penduduk dan perubahan dalam kehidupan yang kian mencabar juga menyumbang kepada bertambahnya bilangan pengidap kemurungan.
Penutup.Dengan melihat kepada peningkatan kes-kes kemurungan maka sudah sewajarnya setiap individu memainkan peranan dalam menghindari dan mengatasi masalah kemurungan. Walaupun penyakit kemurungan ini boleh diubat dan dirawat, namun kita juga dinasihatkan mengambil langkah-langkah pencegahan awal kerana mencegah itu lebih baik dari mengubat. Mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti sentiasa bersenam, tidak merokok dan tidak meminum arak adalah langkah awal bagi mengatasi masalah kemurungan. Bersenam seperti yoga dapat membantu jiwa menjadi tenang. Disamping itu sentiasalah melakukan ibadat dengan berdoa dan bersembahyang. Kita juga disarankan agar melakukan kegiatan-kegiatan yang berfaedah untuk mengelakkan diri dari cenderung ke arah penyakit ini. Penjadualan hidup yang baik juga boleh membantu diri hidup dalam keadaan yang terancang serta menambahkan lagi keyakinan pada hidup. Perlu diingat penyakit ini boleh menyerang siapa sahaja tidak kira remaja, dewasa atau orang-orang tua. Jangan hancurkan hidup yang bermakna ini dengan sesuatu yang merugikan. Jika anda perlukan bantuan, hubungi kaunselor anda untuk berbincang dengan lebih lanjut atau minta bantuan kawan rapat dan keluarga anda.
Bibliografi:
Asmah Bee Mohd Nor, (1989). Kemurungan: Satu Pendekatan Teori. Majalah Psikologi, Bil.: 10, Jabatan Psikologi, UKM.
Atwater, E. (1990). Psychology of Adjustment: Personal Growth in Changging World, Pretice Hall, Englewood Cliff.
Dusek, J.B. (1987). Adolesent Development and Behaviour, New Jersey, Prentice Hall.
Falcon, Chuck T. (2002). Family Desk Reference to Psychology. Sensible Psychology Press.
George, R.L dan Cristiani, T.S, (1990), Counselling: Theory and Practice (Edisi Ketiga), Englewooh Cliffs, New Jersey: Prentice Hall.
Habibah Elias dan Noran Fauziah Yaakub. (1997). Psikologi Personaliti. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Maznah Baba dan Rumaya Juhari (2004) Tekanan dan Dayatindak Keluarga. Universiti Putera Malaysia, Pro Office Shoppe Sdn Bhd.
Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim. (1992) Pelaksanaan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di Sekolah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim dan Halimatun Halaliah Mokhtar, (2005) Kaunseling Individu: Apa dan Bagaimana (Edisi Kedua) Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Mohamad Jamil Yaacob. (2002) Mental Sihat. PTS Millennia Sdn. Bhd.
Mohd Hussain Habil dan Ahmad Hatim Sulaiman. (2007) Kemurungan, Punca dan Rawatan, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
Nagarethna, R.A. (1993) Yoga For Common Ailments. Singapore: Longman.
Shertzer, B. dan Stone, S.C. (1974) Fundamental of Counselling (Edisi Kedua), Houghton Mifflin, Boston.
Wan Abdul Kader Wan Ahmad. (1994). Kaunseling Kelompok Berstruktur: Pengurusan Kebimbangan Sosial. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
http://www.infosihat.gov.my/ Muat turun pada 4.11.2008
http://psychiatry-malaysia.org/article.php?aid=56 muat turun pada 3.11.2008
http://psychiatry-malaysia.org/article.php?aid=895 muat turun pada 3.11.2008
http://psychiatry-malaysia.org/article.php?aid=896 muat turun pada 3.11.2008
http://www.myhealth.gov.my/myhealth/bm/remaja_content.jsp?lang=remaja&storymaster=0&storyid=1186625976263&substoryid=1130488850313 muat turun 18.11.2008
http://www.aspirasi-ndp.com/arkib/ Muat turun pada 20.11.2008